Jumaat, 1 Januari 2010

Kemungkinan dua pilihan raya kecil... kes liwat Anwar...

Kemungkinan dua pilihan raya kecil... kes liwat Anwar...
By aidc editor on January 2, 2010 12:33 PM
Oleh: ROSLAN BIAN


Al kisah Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad mahu lepas jawatan, bukanlah berita baru.

Sebelum ini, entah berapa kali khabar serupa kedengaran.

Sebenarnya, Dr Zainal sudah lama tidak menghadiri sidang parlimen kerana soal kesihatan yang serius.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya di lobi Parlimen baru-baru ini memberitahu Agendadaily, bahawa Dr Zainal sudah dua kali masuk hospital kerana masalah penyakitnya itu.




Bagaimanapun, selepas rawatan kesihatannya beransur baik.

Tidak diketahui, bagaimana beliau menjalankan tanggungjawab di kawasan parlimen yang dimenangi pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu selepas menewaskan tipis Timbalan Presiden MIC, G.Palanivel dengan majoriti 198 undi sahaja.

Dr Zainal dapat 23,177 undi manakala Palanivel 22,979 undi.Undi rosak 1,466

Desas desus terbaru beliau mahu lepas jawatan berlegar lagi sejak awal pagi tadi malah seorang wartawan sebuah portal turut menghubungi Agendadaily, mahu berkongsi kebenaran maklumat itu.

Jika benar, Dr Zainal barangkali sudah memikirkan beliau tidak lagi dapat menunaikan tugas sebagai ahli parlimen kerana sakitnya mungkin bertambah serius.

Andai kata itu keputusannya, mungkin akan ada pilihan raya kecil di kawasan yang mempunyai lebih 63,000 pengundi itu.

Namun, pasti ramai akan bertanya, apakah Anwar setuju kerusi parlimen itu dilepaskan begitu sahaja dan kena bertarung dengan Barisan Nasional bagi mengekalkan jumlah 82 kerusi parlimen milik pembangkang di parlimen?

Mengenali Anwar, ramai mengetahui beliau seorang yang sukakan cabaran dan tidak kurang idea mencetuskan isu demi isu bagi memastikan momentum PKR dan pakatan pembangkang untuk menarik perhatian ramai menjelang pilihanraya umum ke 13.

Tambahan pula, Januari ini menjadi bulan penting buat ahli parlimen Permatang Pauh itu kerana kes pertuduhan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Shaiful Bukhari Azlan akan mengisi ruang mahkamah.

Pada 6 Januari ini, rayuan akhir Anwar untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan contoh spesimen Mohd. Saiful bagi pembelaan kes liwatnya akan di dengar di Mahkamah Persekutuan.


Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan pendakwa raya dan menolak rayuan balasnya bagi mendapatkan dokumen-dokumen tersebut.



Lebih penting dan besar lagi, perbicaraan kes itu selama sebulan mulai 25 Januari sudah ditetapkan Mahkamah Persekutuan.


Walaupun peguam Karpal Singh dikatakan sudah merayu ke Mahkamah Rayuan namun belum ada berita jelas mengenai perubahan tarikh itu.


Dengan dua kes di mahkamah ini, sia[a saja boleh buat andaian ini peluang Anwar mengalih perhatian ramai tambahan pula sejak kebelakangan ini, sokongan terhadap beliau sudah boleh dibilang dengan jari setiap kali beliau hadir ke mahkamah.

Sebab itulah, Anwar mungkin tidak kisah jika Dr Zainal letak jawatan supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.

Jika betul perhitungan tarikh kempen dan pilihan raya mungkin jatuh masa kesnya dibicarakan.

Ini tentu memberi ruang untuk Anwar bukan sahaja berkempen untuk menang pilihan raya tetapi berkempen meraih simpati terhadap kesnya.

Selain Dr Zainal, ahli parlimen PKR Batu, Tian Chua juga sudah menyatakan tidak akan merayu lagi jika Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan kesnya mengigit telinga seorang anggota polis pada 27 Januari ini mengekalkan keputusan beliau bersalah.

Beliau pernah memberitahu Agendadaily keputusannya itu bagi membolehkan pilihan raya kecil di adakan di Parlimen Batu.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000.

Sekiranya mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu, Tian Chua hilang kelayakan ahli parlimen memandangkan dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli parlimen yang dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan dari jawatannya.

Cuma yang pelik, Tian Chua sebelum ini berkeras akan mempertahankan diri kerana meyifatkan kes itu adalah fitnah tetapi dengan tiba-tiba, beliau bersedia melepaskan jawatan.

Dalam erti kata lain, isu Dr Zainal dan Tian Chua ini boleh jadi momentum kepada Anwar bagi meneruskan cita-cita politik pembangkang setelah pelan 16 September dan 14 Disember tidak jadi kenyataan.

Perlu juga diingat, pilihan raya kecil sudah diadakan di negeri yang ditadbir pembangkang iaitu di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah. Mereka juga menang di Terengganu.

Dengan Selangor juga ditadbir pembangkang dan parti itu menguasai majoriti parlimen di Wilayah Persekutuan,. Kemungkinan pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Batu akan jadi pelengkap Anwar menguji sama ada parti PKR,DAP dan PAS terus mendapat sokongan rakyat atau sebaliknya.

Sebab itu, jika mengenali Anwar, tidak sukar membaca percaturan politik momentumnya itu.

Beliau perlu sesuatu untuk mengalih isu perbicaraannya dan dua pilihan raya kecil ini boleh menjadi ' bom asap' untuk tujuan itu.

SUMBER:AGENDADAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan