Tragedi Ribut Greg (26 Disember 1996)
Tragis Ribut Tropika Greg
Oleh Nasron Sira Rahim
RIBUT Greg menyebabkan kemusnahan beberapa kampung di Keningau.
Pada mulanya ia hanya desiran angin yang sesekali mengutuskan rasa nyaman di kalangan penduduk beberapa daerah terutama di Keningau, Sabah.
Kemudian, desiran angin mula disertai hujan yang lebat mencurah. Dentuman guruh dan paluan kilat mengiringi bertalu-talu. Seterusnya dalam kegelapan malam, ketika jam menunjukkan sekitar 4 pagi pada 26 Disember 1996, angin itu mula berdesir semakin laju sehingga mencecah 80 kilometer sejam.
Rumah dan kediaman di beberapa daerah sekitar Sabah terutama di Keningau mula runtuh dilanda kelajuan angin berkenaan; pelbagai objek mula berterbangan, air sungai mula melimpah dan banjir kilat besar berlaku.
Angin sudah menjadi sesuatu yang menakutkan pada malam itu, ia sudah menjadi ribut ganas. Kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga dalam ketakutan.
Suasana terus menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah suara jeritan penduduk yang cemas tenggelam dalam ribut yang semakin menggila. Seolah-olah alam sedang mengamuk malam itu, tidak pernah petaka sedahsyat itu berlaku di kawasan terbabit sebelum ini.
Segera penduduk meluru keluar dari rumah dalam himpitan perasaan penuh cemas dan takut. Meredah ribut dengan paluan angin dan tikaman air hujan tanpa henti, mereka berlari untuk mendapatkan perlindungan.
Rumah penduduk ranap sama sekali
Pada malam itu, satu tragedi yang paling dahsyat direkodkan berlaku di negara ini, tidak pernah tragedi seteruk itu sebelum malam berkenaan.
Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil.
Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi.
Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.
Sungai Pampang, Bayayo, Liawan dan Sinagang melimpah dan hujan berterusan menyebabkan sembilan kampung ditenggelami banjir kilat sekali gus merosak dan menghanyutkan sejumlah 500 rumah penduduk di tebing sungai. Kira-kira 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Perhubungan ke Keningau yang terletak kira-kira 131 kilometer dari Kota Kinabalu, terputus berikutan dua jambatan utama di Sungai Liawan dan Pegalan dihanyutkan banjir besar.
Sebahagian bukit berhampiran Gunung Emas di Tambunan pula runtuh dan menutupi jalan raya sekali gus memutuskan perhubungan dari ibu negeri ke Tambunan dan Keningau.
Paling menyayat hati apabila mengenangkan ramainya mangsa yang terkorban. Kebanyakan mangsa maut kerana dipercayai sedang tidur ketika rumah mereka dihanyutkan arus deras dari kawasan bukit di lereng Banjaran Croker antara jam 3 pagi dan 4 pagi.
Dalam lena yang tidak menyedari apa-apa itu, rumah mereka hanyut dibawa arus bersama penghuni di dalamnya yang tidak sempat menyelamatkan diri.
Sebaik ribut berakhir sebaik siang menjelma, operasi menyelamat dan mencari mangsa segera dijalankan.
Ketika itulah, pemandangan ngeri jelas kelihatan dengan mayat bergelimpangan dalam keadaan mengerikan termasuk ada yang bogel dan tersangkut di tunggul kayu selain mayat kepala bayi terpacul daripada kemaluan ibu yang turut terbunuh. Beberapa mayat turut ditemui dalam rangka rumah yang dihanyutkan banjir kilat.
Hari pertama gerakan menyelamat dijalankan, 107 orang disahkan terbunuh dan kira-kira 150 lagi hilang. Mayat semua yang terbunuh ditemui pasukan pencari dan penyelamat di sepanjang tebing lima sungai utama itu.
Polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sabah Air Sdn Bhd (Sabah Air), bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain penduduk setempat terus menjalankan operasi mencari mangsa.
Bagaimanapun, kerja mengeluarkan mayat mangsa tragedi di beberapa sungai agak sukar kerana mereka tertimbus di dasar serta ditindih pokok dan kayu serta lumpur tebal selain kurang peralatan dan kelengkapan bomba untuk dibawa ke lokasi kejadian berikutan terputusnya hubungan jalan darat antara Keningau dan daerah lain.
Pada hari ketiga gerakan mencari dijalankan, 15 lagi mayat mangsa tragedi ribut itu dijumpai. Seterusnya dari hari ke hari, mayat dijumpai berterusan dan statistik angka korban bertambah dari semasa ke semasa.
Menjelang ketibaan tahun baru 1997, mayat terus ditemui dan selepas dimakan hari, jasad yang ditemui semakin mengerikan dan dalam keadaan reput serta busuk.
Pada 12 Januari 1997 iaitu selepas lebih dua minggu operasi diteruskan, akhirnya gerakan mencari mangsa dihentikan. Lebih 200 penduduk terkorban dalam tragedi itu dan 102 lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang sehingga kini.
Cerita tragis tragedi Ribut Tropika Greg tidak pernah tamat walaupun tidak ramai lagi yang berbual mengenainya. Sepuluh tahun berlalu, kejadian itu terus kekal di dalam ingatan ribuan mangsa yang terselamat.
--------------------------------------------------------------------------------
Pemanasan global dipercayai jadi punca
SEPERTI juga pelbagai bencana alam yang berlaku di negara ini termasuk banjir besar di Johor, baru-baru ini, tragedi Ribut Tropika Greg yang mengorbankan lebih 200 mangsa di Sabah, sedekad lalu dipercayai berpunca daripada kepanasan global.
Aktiviti penebangan hutan dan pelepasan gas rumah hijau di seluruh dunia menyebabkan kitaran alam tidak lagi mengikut ‘landasannya’ sekali gus menyebabkan pelbagai bencana alam tidak lagi dapat dijangka dan menjadi semakin tidak menentu.
Itulah yang berlaku kepada Ribut Tropika Greg yang kesan rempuhannya terhadap Sabah, tidak pernah dijangka sebegitu dahsyat sehingga mampu menjadikan sesuatu kawasan itu umpama padang jarak padang terkukur.
Malah, tragedi ribut itu juga sebenarnya berlaku di luar jangkaan kerana ia sepatutnya bergerak ke hemisfera utara bukan melencong ke arah pantai barat Sabah seperti yang berlaku.
Penjelasan saintifik menyatakan Ribut Tropika Greg berlaku akibat tekanan udara rendah yang berlaku di tengah Laut China Selatan antara Sabah dan Vietnam.
Kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca ketika itu menyebut Ribut Tropika Greg berlaku apabila angin tropika yang bertiup selaju 50 hingga 70 kilometer sejam (km/j) dari arah Laut China Selatan menghala ke pantai barat Sabah dan utara Sarawak.
Kelajuan angin itu menyebabkan laut bergelora dengan ombak setinggi tiga hingga lima meter. Bagaimanapun angin kencang itu reda sejak pagi hari kejadian dan hampir semua kawasan di pantai barat Sabah dilaporkan mendung dan tidak hujan sehingga petang.
Sebelum kejadian ribut itu, kawasan bencana dikatakan mengalami hujan lebat sejak awal pagi 24 Disember 1996 dan berterusan sehingga ribut itu berakhir pada pagi dua hari kemudian.
Taburan hujan pada 24 dan 25 Disember (ketika ribut Greg) ialah 60 dan 72 milimeter, jumlah yang tertinggi bagi bulan berkenaan.
Kelajuan Ribut Tropika Greg mulai berkurangan pada jam 7.40 pagi 26 Disember iaitu dengan kelajuan 64.8 km/j. Bagaimanapun, ia menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan meragut banyak nyawa sepanjang laluannya.
Saintis menjelaskan ribut tropika biasanya bermula sebagai sel tekanan rendah yang berpisah daripada lingkaran tekanan rendah Khatulistiwa dan bertambah kuat selepas mengumpul haba daripada permukaan laut yang panas.
Berikutan keupayaannya menyimpan haba tinggi dan haba terpendam daripada peluwapan air laut, ribut tropika memindahkan sejumlah besar tenaga haba ke latitud tinggi yang menyebabkan berlaku kerosakan besar berikutan kekuatan angin dan hujan lebat.
Kerosakan besar hasil ribut dahsyat itu menyebabkan Kerajaan Sabah kerugian lebih RM130 juta. Sebanyak 4,924 rumah penduduk runtuh dan rosak kerana dihanyutkan banjir manakala 39 sekolah turut rosak membabitkan kerugian RM1.5 juta. Kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan RM12 juta membersihkan sungai di Keningau.
Demikianlah antara penjelasan dari sudut sains mengenai bencana alam itu, tetapi selain penjelasan sains, kita tahu bahawa segala sesuatu kejadian itu berlaku atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Dengan hanya mengata ‘kun fayakun (jadi maka jadilah)’ maka Allah SWT mampu berbuat apa saja.
Negara seolah-olahnya enggan melupakan begitu saja tragedi yang dianggap paling dahsyat dalam sejarah negara itu. Ada banyak peringatan yang dapat diambil daripada peristiwa tragis yang berlaku pada 26 Disember 1996 itu.
Justeru, pada tarikh sama tapi pada 2005, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tarikh 26 Disember setiap tahun akan dijadikan Hari Kesedaran Bencana Negara.
Selain tragedi Ribut Tropika Greg, tarikh sama turut menyaksikan tragedi tsunami yang melanda negara terutama kawasan utara tanah air pada 2004.
Sumber: Berita Minggu
Foto: Laman Tragedi Berdarah: Ribut Greg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan