Revolusi Sejati
“Some said I’ve killed the revolution, but in the end it’s my life that really needs a solution”
~ Megat a.k.a MagSkin
Kepala agak pening-pening lalat. Mungkin sebab bertolak awal pagi dari kampus ke Medan Gopeng untuk mengejar bas yang pertama dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Sebaik sahaja sampai ke kawasan Puduraya, saya bersama seorang rakan foreigner bergegas menuju ke STAR LRT Plaza Rakyat.
Dalam perjalanan ke stesen tersebut, saya melalui beberapa buah kedai kecil dalam Plaza Rakyat dan kelihatan susuk manusia berjubah putih dan berserban lilit. Sekali pandang macam pernah tengok, dua kali pandang macam tak percaya…
Kali ketiga pandang, saya berkata dalam hati: “sah!”
Baru selang beberapa hari saya menonton kisah hidup beliau yang baru di Youtube dan selepas itu mengikutinya pula dalam majalah Mastika edisi terbaru. Kali ini, beliau berada di hadapan saya secara “live”, dengan imej yang SAMA seperti saya lihat dalam Youtube dan juga Mastika.
Saya memberanikan diri untuk menemu ramah beliau yang sedang asyik berbual dengan seorang tukang jahit di kedai bundle berhampiran Platform 5.
“Assalamualaikum, ni brother Megat ke?”
Beliau menoleh tajam dengan cermin mata ala Ray-Ban berwarna cokelat gelap.
“Waalaikumussalam…ye saya..”
Saya pun terus ligat membuka bicara: “ Wah, tak sangka dapat jumpa brother! Baru saja saya baca kisah brother dalam Mastika dan Youtube. Saya dulu big fan brother la! So buat apa kat sini?”
“ Oh ye ke? Ana tengah tempah pakaian ni sambil teman kawan berniaga dekat kedai dia dalam Plaza ni.”
Terkejut saya dengan beliau membicarakan diri sebagai ‘ana’. Nampaknya, inilah realiti baru bekas orang no.1 Skinhead negara, Megat Hafiz a.k.a Magskin yang menjadi ikutan ribuan anak muda di Malaysia melalui band beliau yang amat berpengaruh dalam underground scene iaitu The A.C.AB.
Sukar hendak percaya bila tersebar kisah perubahan radikal Megat daripada seorang skinhead kemudian mellow kepada indie dan kemudian sekarang sebagai seorang Muslim yang cenderung kepada Tasawwuf.
Gambar yang dimuatkan dalam majalah Mastika tersebut
“Macam mana abang boleh berubah? Saya dulu selalu jamming lagu-lagu abang tapi saya lebih dekat dengan grunge la…” saya bertanya dengan selamba.
“Biasala, ana dulu muda-muda mencari identiti juga. Sekarang ni dah dewasa mula sedar tanggungjawab untuk menjadi sebagai Muslim yang lebih baik.”
“Apa abang buat sekarang? Saya ada terbaca dalam Mastika yang abang ada kaitan dengan keluarga Al-Attas. Kiranya abang ni ada la kait-mengait dengan Prof. Syed Husein Alatas dan Naquib Al-Attas.Betul ke?” saya bertanya lagi.
“Ana sekarang selalu ikut majlis ilmu dan zikir tariqat Ba’lawi. “ seloroh beliau sambil menunjukkan kitab ratib Al-Attas yang bertulisan jawi.
“Keluarga Al-Attas ni ada banyak cabang. Ana punya line banyak dekat Johor la. Mungkin ada kaitan juga dengan kedua-dua Profesor tu”
Beliau amat ramah dan tenang. Menjawab persoalan saya dan menjelaskan pengalaman beliau seperti mana yang termuat dalam majalah Mastika. Selesai kami berborak, saya syorkan kepada beliau untuk terjun ke dalam bidang dakwah khususnya kepada golongan muda yang masih keliru dalam mencari identiti.
Bagi saya, perubahan yang dilalui Megat ini bukan berbentuk superficial. Benar-benar saya dapat saksikan kebesaran Ilahi dalam mengurniakan hidayah dan taufik kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Teringat kembali bagaimana kisah saya mendapat hidayah juga. Saya dulu pun lebih kurang macam brother Megat tapi in lesser degree la.
Dalam meniti usia remaja, saya juga sama seperti brother Megat teraba-raba dalam mencari identiti. Ketika saya berumur 16 tahun, saya sangat terpengaruh dengan idealisme ‘kebebasan’ yang dibawa oleh para pemuzik underground. Tanpa sedar dan faham apa itu kapitalisme, jiwa saya sudah sangat cenderung kepada muzik yang anti-borgouise, yang mana produk seni didagang oleh label-label besar semata-mata untuk memenuhi selera pendengar.
Pemuzik underground tidak begitu. Mereka ada prinsip dan pendirian tersendiri. Lebih independent dan original. Sifat sebeginilah yang mejadikan saya begitu tertarik dengan muzik mereka walaupun tak faham sangat lirik yang mereka nyanyikan khususnya band yang main muzik jenis Heavy Metal, Death Metal, Black Metal dan yang sewaktu dengannya.
Pemuzik dan band yang paling mempengaruhi saya adalah Kurt Cobain, frontman kepada kumpulan Nirvana. Kurt Cobain merupakan ‘hero’ muzik genre grunge yang juga sering dikaitkan dengan dengan remaja yang hidup pada era 90-an iaitu ‘generasi X’. Pengaruh muzik jenis grunge memang cukup signifikan dalam muzik rock moden. Pengaruh teen-angst dalam muzik mereka ‘membakar’ jiwa anak muda untuk menyelongkar ma’na kehidupan yang sarat dengan tipu daya.
Tahap keseriusan saya meminati Kurt Cobain dapat dibuktikan melalui pembacaan saya yang serius terhadap biografi beliau bertajuk Heavier than Heaven yang ditulis oleh Charles R. Cross.
Malah, nama band saya sendiri pada awalnya merujuk kepada album Nirvana paling awal iaitu Too Many Humans (yang kemudiannya ditukar menjadi Bleach, sebagai album sulung Nirvana). Selain menjadi pemain ragbi profesional peringkat sekolah menengah, masa lapang saya sangat sarat dengan aktiviti mengasah skil bermain gitar, bass dan menulis lagu secara ringkas.
Jamming di studio atas 7 Eleven Taman Melawati bersama sepupu dan rakan.
Kalau pengaruh daripada local underground scene pula, saya amat meminati Butterfingers. Nama band saya yang sempat bermain dalam beberapa siri pertunjukkan di Sekolah Menengah Sains Selangor sekitar tahun 2003 merujuk kepada lagu Butterfingers berjudul Antidotes (yang termuat dalam album mereka Malayneum) yang saya paradokskan menjadi Antidote Kills ( antidote merupakan ubat, ubat sepatutnya menyembuhkan, bukan membunuh!). Setelah asyik bertukar line up akibat tidak sehaluan dari segi prinsip seni muzik dan genre lagu yang ingin dimainkan, lama-lama saya putuskan untuk jadi one-piece band seperti Dashboard Confessional. Tapi projek ini tak ke mana pun sebab gitar saya kena campak ke bawah koridor sampai terbelah dua oleh warden. Mana taknya sebab melalak main gitar ramai-ramai dekat asrama dengan senior tingkatan 5 pada waktu malam.
Biarpun saya memang seorang hedonis, saya tidak mendengar dan bermain muzik dalam keadaan sambil lewa. Saya cuba salami muzik yang saya minati dari segi lirik dan susunan lagunya, cuba memahami latar belakang para pemuzik, tema yang termuat dalam lagu malah saya mengasah kecerdasan bahasa inggeris saya melalui muzik Inggeris. Biarpun saya dengar lagu jenis death metal, black metal, hardcore, rapcore, nu-metal, rap, r&b, emocore etc. saya tidaklah tertawan sepenuhnya kerana macam saya katakan tadi, muzik membawa saya, sama seperti membawa brother Megat ke daerah terasing dalam mencari ma’na kehidupan.
Seperti contoh pada kulit diari yang saya gunakan sewaktu saya berumur 16 tahun, tertera frasa yang bertulis:
“Are you Alive or just Breathing?”
Tanpa sedar, saya rupa-rupanya telah meneroka ke daerah “falsafah” melalui lirik lagu kumpulan Killswitch Engage, sebuah band metalcore dari Amerika yang saya amat minati. Cumanya, pada waktu itu saya tak tahu pun apa itu “falsafah” semacam yang saya fahami sekarang.
Frasa tersebut benar-benar mendesak saya untuk berfikir mendalam tentang kehidupan. Pada waktu tersebut, Al-Qur’an tu memang jarang sangat la sentuh. Solat tak tinggal tapi ilmu agama tu bagi saya pada waktu tersebut sangat “melecehkan”.
Saya juga berpegang kepada falsafah straight edge, yang mana falsafah ini menolak sebarang pengambilan rokok, dadah dan juga arak sebagai gaya hidup para peminat underground music scene. Saya tak pakai rantai, tak pakai bangle, tak pakai subang dan yang sewaktu dengannya. Pakaian saya simple iaitu apa-apa baju yang membawa imej band yang saya gemari dan juga seluar jeans serta kasut Converse biru gelap yang Kurt Cobain pakai dalam konsert MTV Uplugged beliau.
Saya gemar memakai t-shirt muzik rock seperti contoh "Static X", sebuah band heavy metal ketika "fly" bersama rakan se-batch sewaktu di tingkatan 4.
Alhamdulillah, setelah saya masuk ke UTP pada tahun 2005, Allah S.W.T kurniakan Hidayah yang amat berharga sehingga pandangan alam saya yang dahulunya tahu berseronok dan berhibur menjadi lebih terarah kepada aspek spiritual iaitu Islam. Saya tak pernah sangka akan berubah secara radikal. Saya berubah sebelum masuk Jemaah Islam Kampus lagi. Pada awal kemasukkan ke UTP, saya memang bercita-cita hendak jadi ‘kepala’ penting kepada pembudayaan gig dan konsert di UTP kerana saya dapat tahu bahawasanya perkara sebegitu sangat sukar diadakan di UTP dek kerana pengaruh Rakan Masjid yang cukup dominan dalam badan-badan pelajar.
Saya nekad untuk menjadi *konon* rockers sejati di UTP, dengan menyimpan rambut panjang, berpakaian lusuh dan selamba disamping berusaha keras menaikkan taraf pencapaian sukan ragbi bersama rakan-rakan lain di UTP. Pendek kata saya hampir-hampir menjadi anathema UTAMA kepada perjuangan Islam di UTP sehinggalah Allah S.W.T dengan limpah kurnianya menggambarkan Kebenaran seperti yang terdapat pada kalam-nya:
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (28:56)
Bersama brother Megat di Plaza Rakyat.
Begitulah kisah lampau saya yang kira-kira hampir serupa dari segi pencariannya dengan brother Megat. Tapi melihat perubahan brother Megat, saya kira beliau benar-benar melalui revolusi spiritual. Masakan tidak beliau secara radikal juga, berubah menjadi anti-tesis kepada Magskin yang dahulu. Saya doakan kepada brother Megat dan rakan-rakan lain agar terus berusaha mengislahkan diri agar satu hari nanti amanah dakwah dapat dipikul bersama untuk dikongsi bersama manusia lain yang memerlukan bimbingan dan sokongan dalam episode pencarian ma’na sebuah kehidupan yang pernah kita ikrarkan pada Hari Alastu (Al A'raf: 172-173) di hadapan Pencipta kita…
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan