Ahad, 3 Januari 2010

Tragedi Pos Dipang (29 Ogos 1996)

Tragedi Pos Dipang (29 Ogos 1996)



Keadaan di sekitar tempat kejadian yang dirakamkan menerusi udara
Kejadian berlaku pada 29 Ogos 1996, korbankan 39 nyawa manakala lima lagi dilaporkan hilang

Kebanyakan penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak hanya mampu terperap di rumah masing-masing kerana hujan terlalu lebat ketika itu. Hujan sejak jam 12 tengah hari, masih tidak berhenti walau sudah enam jam berlalu.

Tiba-tiba, satu dentuman kuat berselang-seli dengan derauan hujan dari arah bukit di belakang kampung berkenaan, kedengaran. Penduduk tersentak, tertanya-tanya apakah bunyi aneh itu.

Beberapa minit kemudian mereka sekali lagi mendengar satu bunyi pelik. Belum sempat mereka memikirkan apa-apa, dinding rumah mereka terus pecah dan air bercampur lumpuh menerjah ke dalam.

Rempuhan arus deras menyebabkan ada penduduk tercampak keluar dari rumah masing-masing manakala beberapa rumah yang terletak di tebing Sungai Dipang terus runtuh dan dihanyutkan.

Sebaik menyedari banjir lumpur mula membaham perkampungan Orang Asli itu, penduduk mula panik, jeritan mula kedengaran di mana-mana dan ada antara mereka mula meluru keluar daripada kediaman untuk menyelamatkan diri.



Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, dengan pantas juga arus deras menyambar. Ramai penduduk dibawa bergulungan sambil tenggelam timbul bersama arus, beberapa kali badan mereka terhentak dan tercucuk dahan kayu.

Keadaan berlaku tanpa diduga. Ketika dibawa arus, jeritan meminta tolong terus bergema sebelum mulut dimasuki air berlumpur. Sesetengah mereka tersangkut pada pokok manakala sesetengah lain ghaib tenggelam di bawah air banjir. Sekelip mata, puluhan mangsa dihanyutkan entah ke arah mana.

Arus deras turut menghanyutkan batang pokok besar yang dipercayai ditinggalkan di atas bukit di hulu penempatan itu ketika kerja penebangan balak dijalankan beberapa tahun sebelum itu.



Hentaman balak dan rempuhan banjir menyebabkan 30 rumah musnah, 20 lagi rosak dan puluhan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Asli hilang dalam tragedi itu.

Mereka yang terselamat, berpaut pada pohon atau apa saja yang mampu mengelakkan mereka daripada hanyut. Dalam ketakutan, mereka mengharapkan supaya petaka itu segera berakhir.

Petang mula beranjak ke malam dan suasana sekitar mula menjadi gelap. Pasukan penyelamat yang menyedari tragedi buruk berlaku di kawasan berkenaan segera bergegas ke lokasi kejadian walau pandangan dihijab kelam.



Seramai 400 anggota penyelamat membabitkan polis daerah Kinta, pasukan bomba pusat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan Pasukan Pertahanan Awam dari Ipoh memulakan gerakan mencari mangsa.

Mayat pertama iaitu seorang wanita Orang Asli berusia lingkungan 30 tahun, ditemui kira-kira jam 1.30 pagi. Operasi mencari terus dijalankan.

Ketika itulah, pasukan penyelamat mula menyedari yang operasi mencari bukanlah sesuatu yang mudah dijalankan. Arus masih mengalir deras, cuaca amat gelap berikutan terputusnya bekalan elektrik.

Mereka mencuba semampu boleh sementara menunggu malam bertukar siang bagi meneruskan kerja mencari mangsa. Sebaik matahari menjelma, terteralah pemandangan yang begitu menggerunkan.



Pagi semalam, Perkampungan Orang Asli Pos Dipang tidak seperti itu tetapi selepas 24 jam berlalu, hujan lebat menukarkan landskap kampung berkenaan menjadi kawasan bencana!

Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari. Dalam kesukaran, mereka terpaksa menggali timbunan tanah bercampur lumpur setebal kira-kira 1.5 meter dan mengalihkan pokok yang tumbang untuk mencari kemungkinan mayat mangsa di bawahnya.

Pihak penyelamat hanya menggunakan tenaga manusia untuk mencari mayat mangsa dan

keadaan tempat kejadian yang berselerak dipenuhi kesan runtuhan rumah dan pokok tumbang menyebabkan kerja mencari lebih sukar dilakukan.

Bantuan juga sukar disampaikan kerana jambatan di Sungai Dipang yang menghubungkan kampung itu dengan Kampar roboh dilanda arus, menyebabkan pasukan bantuan terpaksa melalui jalan jauh iaitu Chenderiang dari Tapah.



Sehingga berakhirnya hari kedua kejadian iaitu 30 Ogos 1996, tragedi banjir lumpur itu mencatatkan penemuan 15 mayat mangsa manakala 27 lagi dipercayai masih hilang dihanyut banjir lumpur.

Operasi yang dijalankan kemudian terus mencatatkan penambahan jumlah mangsa yang maut terdiri daripada bayi seawal tujuh bulan sehingga ke penduduk tua berusia 70 tahun. Malah satu daripada mayat mangsa tragedi banjir lumpur itu dijumpai hanyut sehingga ke Sungai Kinta, Malim Nawar, kira-kira 48 kilometer dari tempat kejadian.

Pada 11 September 1996 iaitu selepas 13 hari berlalu, operasi mencari mangsa dihentikan dengan jumlah angka korban tragedi banjir lumpur Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, dicatatkan kepada 39 orang manakala lima lagi masih hilang dan gagal ditemui.

FAKTA TRAGEDI POS DIPANG

Berlaku pada 29 Ogos 1996, kira-kira jam 6 petang.
Mengorbankan 39 mangsa dan lima hilang.
Semua mangsa, kecuali enam orang dari keluarga Cina yang tinggal di Bah Hon Hin kira-kira enam kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang ialah penduduk Orang Asli.
Perkampungan itu mempunyai kira-kira 60 rumah yang dibina dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan mempunyai kira-kira 1,500 penduduk.
Penempatan itu dibuka pada 1978 apabila dusun buah-buahan yang mereka usahakan di situ mengeluarkan hasil. Sebelum ini penduduk tinggal di Batu 19 Jalan Cameron Highlands, tidak jauh dari situ.

--------------------------------------------------------------------------------
Hujan lebat luar biasa punca utama banjir lumpur



Jernih air yang mengalir perlahan di Sungai Dipang sesekali mengutuskan kedamaian kepada sesiapa saja terutama penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Dipang yang sentiasa berdampingan dengan sumber alam itu.

Tetapi kejernihan sungai itu tidak lagi menawarkan kedamaian pada 29 Ogos 1996. Di bawah titisan hujan menggila, air sungai yang jernih mula dicampuri lumpur, arus tidak lagi mengalir perlahan seperti sebelumnya tetapi mula semakin deras.

Paras air yang hanya sekitar 0.3 meter mula melimpah sehingga kira-kira 1.5 meter dari paras tebing dan air sungai yang sebelum itu amat mendamaikan mula menjadi bencana alam yang mengorbankan 39 nyawa.



Pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan bagi menyiasat punca tragedi itu mendapati tiga faktor dikenal pasti sebagai penyebab utama bencana banjir lumpur itu.

Laporan disediakan pasukan petugas terdiri daripada pakar geologi Planetarium dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati ia berpunca dan dipengaruhi faktor iklim, topografi dan geologi sekitar kawasan kejadian.

Hujan lebat yang luar biasa sebelum tragedi itu adalah antara punca utama kejadian itu. Berdasarkan rekod JPS pada Ogos 1993 sukatan hujan di kawasan kejadian hanya 137 milimeter (mm), Ogos 1994 (197mm), Ogos 1995 (281 mm) manakala pada Ogos tahun kejadian ialah 461mm.

Kawasan bukit yang curam di Sungai Pusat yang terletak di hulu Sungai Dipang menyebabkan berlaku tanah runtuh yang besar di situ. Keadaan itu menyebabkan air Sungai Pusat keruh dan berlumpur berbanding Sungai Dom dan Sungai Sangkut iaitu anak Sungai Dipang di hulu.

Timbunan lumpur dan pasir daripada tanah runtuh itu menyebabkan air di sungai berkenaan meningkat mendadak dan mempunyai kuasa tinggi menghakis Sungai Dipang hingga ke hilir seterusnya keadaan itu menyebabkan berlakunya proses hakisan yang mencabut pokok

besar dan ia adalah punca utama begitu banyak pokok terbongkah.

Kehadiran pokok besar itu menyebabkan terbentuknya beberapa empangan sementara terutama di alur sempit dan satu daripada empangan terbesar yang terbentuk dikesan kira-kira 200 meter dari perkampungan Orang Asli terbabit.

Tekanan air akibat hujan lebat pada hari kejadian menyebabkan empangan itu pecah lantas menghanyutkan kayu tersangkut serta mencabut pokok lain yang melintang sebelum air melimpah ke perkampungan berkenaan.

Demikianlah hasil kajian yang dikatakan menjadi punca bencana alam itu. Sejak cerita kejadian banjir lumpur yang dahsyat itu tersebar, pelbagai pihak mula membuka mata dan memberi tumpuan terhadap isu penempatan Orang Asli di negara ini.

Selepas tragedi itu juga, hampir semua kerajaan negeri yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mengenal pasti penempatan masyarakat itu yang terdedah kepada bahaya terutama banjir lumpur.

Berikutan bencana yang memusnahkan hampir keseluruhan penempatan Orang Asli itu, sebuah penempatan baru dibina untuk mereka tidak jauh daripada penginapan asal. Penempatan baru Orang Asli Pos Dipang itu juga menjadi penempatan contoh berikutan kajian kerajaan negeri mendapati penempatan itu sesuai dan selamat diduduki.

Penempatan baru seluas 1.5 hektar itu menempatkan 53 rumah dengan kos pembinaan setiap satu sebanyak RM7,000.

Sumber: Nasron Sira Rahim (Berita Minggu)
Foto: Laman Tragedi Berdarah Pos Dipang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan