Ketika umat alpa: Pencabulan nama "Allah" berlaku secara diskrit.
Proses peng-sekularan (secularization) tidak datang secara literal. Ianya berlaku secara berperingkat-peringkat dalam keadaan umat Islam dan para ulama'nya alpa terhadap perubahan sosial dan spiritual yang berlaku ke atas masyarakat. Inilah yang telah berlaku di Turki semasa era Tanzimat sebelum hancurnya Khilafah.
Bagi ulama' yang hanya mampu menilai kerosakkan di peringkat zahir, maka hala tuju perjuangan-nya hanya sekadar di permukaan air. Sering kali ulama' seperti ini akan terlepas pandang beberapa perkara kecil yang sebenarnya bakal mengundang kepada permasalahan yang lebih besar kelak.
Terlepas pandang kerana tidak faham, mungkin boleh diperbetulkan oleh ulama' yang lebih faham. Ini jelas dapat kita tinjau dalam isu perdebatan antara Ibn Taimiyyah dan Ibn Ata'illah. Ulama eksoterik (exoteric) vs. Ulama esoterik (esoteric).
Tetapi kalau 'sengaja' terlepas pandang kerana menjaga kepentingan tertentu maka ini adalah satu kemalangan jati diri. Ini sama seperti membenarkan serigala menjaga reban ayam.
Dalam keadaan kita kacau dengan isu politik nasional, penggunaan nama "Allah" telah dicabul sedikit demi sedikit oleh golongan tertentu yang masih berdegil untuk meneruskan agenda mereka.
Saya menyeru Dewan Ulama' PAS Pusat untuk respons perkara ini secara tegas berserta hujah yang jitu dalam menyatakan bantahan moral dan spiritual ke atas pencabulan penggunaan nama "Allah" oleh golongan yang tidak layak memilik guna nama tersebut dalam aktiviti keagamaan mereka.
"Semua NGO Islam, sila keluarkan kenyataan keras membantah warta PU (a) 62 yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana membenarkan penggunaan kalimah "Allah", "baitullah", "kaabah" dan "solat" untuk orang Kristian. Ia bertentangan dengan enakmen kawalan pengembangan agama bukan Islam dan bertentangan dengan keputusan kabinet pada 19 Mei 1986. Sila keluarkan kenyataan dengan kadar segera mendesak kerajaan batalakan warta tersebut." - Zainul Rijal, Presiden Peguam Syar'ie.
Rujuk berita di sini.
SIARAN MEDIA 28 FEBRUARI 2009/ 3 RABIU’L AWAL 1430 :
PKPIM MEMBANTAH HERALD MENGGUNAKAN NAMA ALLAH
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terkejut dengan keputusan Menteri Dalam Negeri kerana meluluskan akhbar Kristian Katolik Herald menggunakan nama ‘Allah’ dalam penerbitan mereka. Walaupun dikenakan bersyarat di bawah Internal Security (Prohibition On Use of Specific Words on Document and Publication) Order 2009', yang hanya mengkhususkan kepada penerbitan sahaja.
PKPIM telah awal menyatakan bantahan pada kenyataan media ‘5 Mei 2008/ 28 Rabi’ul Akhir 1429: PKPIM PERSOAL HAK GUNA NAMA ALLAH’, namun pihak Herald masih berdegil dan mendesak untuk menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka.
Isu ini bukan pertimbangan Islam tidak toleran atau tidak, tetapi isu mempertahankan hak istimewa yang telah berkurun hak nama Allah secara eksklusif untuk ummat Islam dan membendung usaha dakyah Kristianisasi. PKPIM merasakan pihak Herald tidak ikhlas dalam menerbitkan akbar rasmi agama Katolik mereka, dan semacam ada muslihat di sebalik usaha bersungguh menggunakan nama Allah.
PKPIM bertegas bahawa pihak Herald harus menarik balik penggunaan nama ‘Allah’ yang mereka berdegil mahukan. Gunakan istilah tersendiri yang ada dalam khazanah bahasa Melayu yang boleh merujuk kepada Tuhan mereka. Sekiranya ada istilah ‘masjid, gereja, kuil, tokong dan sebagainya’, mengapa pihak Herald berdegil mahu menggunakan nama ‘Allah’?.
Hujah mereka mengatakan Allah telah digunakan sejak zaman pra Jahiliah lagi, seolah tiada masalah bagi mereka. Bahkan di negara Arab, orang Kristian menggunakan ‘Allah’ merujuk Tuhan mereka. Hujah ini terlalu dangkal, kerana Islam yang datang melalui Muhammad Sallahu’alahi Wasalam telah mengisi maksud nama ‘Allah’ yang benar, iaitu Tuhan yang Esa, tiada beranak dan diperanakkan. Bahkan di Malaysia, apabila Islam datang, telah membawa nama Allah yang merujuk kepada Tuhan eksklusif ummat Islam. Nama ‘Allah’ yang mereka faham pra- Islam adalah Tuhan yang bermacam- macam; beranak, diperanakkan dan sebagainya. Islam hadir telah me- nyah (de- jahiliah) dan memasukkan maksud Allah yang benar.
Oleh kerana itu pihak Herald sebenarnya keliru dan ada maksud tersirat untuk berdegil menggunakan nama Allah. PKPIM sekali lagi membantah keras dan menuntut supaya Herald usah menimbulkan suasana ketidak-tenteraman dalam masyarakat.
MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan