Ahad, 3 Januari 2010

Ops Buncit tamatkan riwayat Bentong Kali (1993)

Ops Buncit tamatkan riwayat Bentong Kali (1993)



Ops Buncit tamatkan riwayat Bentong Kali (1993)
Polis tawar RM100,000 tangkap penjenayah paling dikehendaki sekitar 1990-an kerana 16 pembunuhan

Mudah saja untuk dia membunuh seseorang. Apabila lelaki itu berang, dia sekadar menarik pistolnya dan menembak sesiapa saja yang mencetuskan kemarahannya tanpa memikirkan impak perbuatan berkenaan.

Semudah itu saja, dia tidak kisah atau pernah takut memikirkan perbuatannya memiliki senjata api atau menembak seseorang boleh menyebabkan dia dihukum gantung sampai mati.

Lagak lelaki bernama P Kalimuthu itu bagaikan negara ini tiada undang-undang dan dia bebas berbuat apa saja mengikut kehendak nafsunya termasuk membunuh seseorang.

Pemikiran songsangnya itu menyebabkan Kalimuthu atau digelar Bentong Kali menjadi antara penjenayah paling berbahaya dan diburu polis pada dekad 1990-an selepas Wong Swee Chin atau Botak Chin pada 1970-an.

Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.

Selain rekod pembunuhan itu, Bentong Kali turut disyaki dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan polis.

Bentong Kali meninggalkan jejak jenayahnya menerusi kelongsong peluru jenis 9mm daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya sebelum itu.

Penjenayah itu mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu.

Tanpa lagi alam persekolahan seperti remaja lain, Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04 dan mula mengenali dunia jenayah.

Atas kesalahan tertentu, dia ditahan dan kemudian dipenjara ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.

Dipenjara pada usia muda tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08.

Bersama kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang-undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut,Sungei Way dan Ampang.

Dia ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah ditempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada 1987 bersama sekatan kediaman terhad di Kuantan, Pahang.

Dunia jenayah bagaikan matlamat kehidupannya. Peluang kedua untuk mengubah hidup mengikut undang-undang diabaikannya apabila lelaki itu kembali menyertai dunia jenayah.

Bagaimanapun, kali ini dia tidak lagi menyertai kumpulan jenayah sedia ada sebaliknya menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Antara kegiatan kumpulan 04 yang ditubuhkannya ialah aktif mengedar dadah dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya.

Untuk kali kedua, dia dikenakan sekatan kediaman terhad di Gopeng,Perak, selama dua tahun. Kalimuthu kemudian menghilangkan diri pada November 1984.

Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki itu.

Ops Buncit disertai 200 pegawai dan anggota polis termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakan secara besar-besaran membuktikanpolis serius untuk memburu Bentong Kali hingga ke lubang cacing.

Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka.

Bentong Kali juga dikatakan memiliki banyak tatu dilukis pada badan dan tangannya seperti tanda palang dan ungkapan Born To Die.

Pada tangan kanannya terdapat gambar kepala harimau manakala di tangan kirinya terukir gambar perempuan bogel, ular dan helang. Tatu dibahagian belakang badannya pula dilukis gambar helang dan kedua-dua pahanya ada gambar perempuan bogel. Kalimuthu turut memiliki parut kesan pembedahan di perut.

Dalam gerakan memburu penjenayah itu, poster dikehendaki polis yang antara lain memaparkan wajah Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula ditampal di tempat awam.

Dengan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu, kes buruan polis itu terus menjadi berita hangat.

Poster itu turut diedarkan di kawasan sempadan bagi membolehkan orang ramai mengesan kehadirannya dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelak Kalimuthu bolos ke negara jiran.

Polis terus melancarkan gerakan memburu Kalimuthu selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Serbuan demi serbuan dijalankan untuk menjejak penjenayah itu antaranyadi lokasi yang menjadi tumpuan jenayahnya iaitu sekitar Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama, Brickfields, Taman Melawati; di Ampang, Balakong dan Kajang di Selangor dan Raub dan Bentong, Pahang.

Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama.

Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, KualaLumpur pada 29 Jun 1993.

Subuh menjelang apabila sepasukan anggota elit polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, mengambil posisi dan mengepung kawasan perumahan itu. Turut menyertai operasi adalah unit pemusnah bom.

Situasi genting itu kemudian bertukar menjadi drama tembak-menembak. Bentong Kali bersama dua pengikutnya melepaskan dua das tembakan kepada polis yang mengepung kawasan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua tembakan penjenayah itu tidak mengenai atau mencederakan anggota polis.

Menyedari tindakan agresif penjenayah itu dan cubaan mereka untuk melarikan diri, polis mengambil tindakan pantas dengan membalas tembakan.

Tembakan balas sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan ketiga-tiga penjenayah terbabit terbunuh dengan satu das tembakan di kepala menamatkan riwayat P Kalimuthu. Kejayaan itu menamatkan episod das-das tembakan daripada penjenayah terbabit sepanjang era keganasannya yang membunuh kira-kira 16 mangsa.

PROFIL

Nama: P Kalimuthu
Gelaran: Bentong Kali
Lahir : 22 Januari 1961
Asal : Bentong, Pahang
Keluarga: Anak kelapan daripada 11 beradik


--------------------------------------------------------------------------------
Beberapa kes bunuh dilakukan sendiri

KEGEMBIRAAN sambutan hari lahir di Taman Tanming Jaya, Balakong, Selangor tidak berakhir dengan suasana ceria sebaik dua lelaki muncul tanpa diundang pada majlis berkenaan sekitar jam 11 malam 14 Jun 1993.

Kemunculan dua lelaki itu sememangnya memberi sesuatu yang mengejutkan apabila tanpa diduga, mereka melepaskan tembakan di hadapan kira-kira 40 orang yang berada pada majlis itu.

Sebaik melepaskan tembakan, terus dua lelaki itu beredar meninggalkan tetamu majlis itu dalam keadaan ketakutan. Tembakan itu menyebabkan tiga maut di tempat kejadian, seorang lagi mati ketika dikejarkan ke hospital manakala dua lagi cedera parah.

Beberapa ketika kemudian, polis berkejar ke tempat kejadian tetapi gagal mengesan dua lelaki berkenaan sebaliknya mereka menemui sembilan kelongsong peluru 9mm dari pistol Sig Sauer.

Penemuan bukti kelongsong peluru itu menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian pembunuhan berkenaan.

Tambahan pula lokasi kejadian berhampiran dengan tempat seorang penjual roti canai berusia 24 tahun yang ditembak Bentong Kali kira-kira enam hari sebelum kejadian pembunuhan pada majlis hari lahir itu.

Dalam kejadian sebelum itu, tindakan penjual roti canai terbabit menegur tindakan kurang ajar Bentong kali yang kencing berhampiran rumahnya menyebabkan penjenayah itu berang.

Seterusnya lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan sedas tembakan tanpa belas menyebabkan penjual roti canai itu rebah dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah.

Penduduk yang menyedari kejadian itu menghulurkan bantuan dengan menghantar mangsa ke Hospital Kajang, tetapi lelaki itu mati ketika dalam perjalanan.

Pada 11 Jun 1993, Bentong Kali turut disyaki terbabit dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki ditembak dua das di bahagian dada dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal. Tidak lama selepas itu pula, seorang lagi lelaki turut ditembak oleh dua lelaki bermotosikal dengan modus operandi sama iaitu tembakan dari jarak dekat. Bagaimanapun, lelaki kedua hanya cedera.

Semua jenayah di kawasan perumahan itu dikaitkan dengan Bentong Kali kerana lelaki itu turut menyewa selama tiga bulan di Taman Tanming Jaya sebelum melarikan diri selepas mendatangkan angkara kepada penduduk di kawasan itu.

Tindakan Kalimuthu menyebabkan penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan. Ada antara mereka yang berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain kerana khuatir menjadi mangsa seterusnya.

Bagi penduduk yang tidak berpindah, mereka trauma sehingga tidak berani untuk keluar ke luar rumah pada waktu malam.

Ada penduduk yang membatalkan majlis keramaian seperti jamuan kerana khuatir kejadian menimpa jiran mereka turut berulang.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain di Pandan Jaya pada 27 Jun tahun sama, dua polis bermotosikal dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga yang disyaki dinaiki Bentong Kali.

Kereta berkenan dikatakan mematikan lampu secara tiba-tiba sebelum terus melanggar motosikal berkenaan sehingga dua anggota penguat kuasa yang dalam perjalanan ke pondok polis berhampiran tercampak.

Dua polis yang cedera sempat melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit sebelum pemandunya keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri dalam gelap. Pemeriksaan kemudian mendapati ada kesan darah di tempat duduk pemandu.

Selain kejadian berkenaan, Bentong Kali juga dikatakan keterlaluan berani apabila menelefon dan mencabar pegawai polis.

Sumber: Berita Minggu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan