Pemburu Botak Chin
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
ADA sekurang- kurangnya 35 foto hitam putih tergantung di beberapa sudut sebuah restoran baru dinamakan Kedai Kopi Blues di Jalan Reko Sentral, Kajang.
ADA sekurang-kurangnya 35 foto hitam putih tergantung di beberapa sudut sebuah restoran baru dinamakan Kedai Kopi Blues di Jalan Reko Sentral, Kajang.
Uniknya foto itu, ia memberi gambaran perjuangan, kesungguhan dan kesetiaan seorang bekas pegawai polis yang pernah berkhidmat dari 1951 hingga 1986.
Jika diamati satu persatu, tidak keterlaluan dikatakan akan ada tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik potret itu.
Malah, jika ditunjukkan wajah pemiliknya dalam foto itu dan diberitahu namanya sekalipun, persoalan sama pasti terngiang-ngiang di fikiran.
Apapun, dikenali atau tidak, realitinya empunya foto itu, Datuk Syed Meer Wahid Al-Hubshee Syed Ibrahim, 78, bukan sembarangan, walaupun beliau seperti ‘wira yang tak didendang’. Jasanya cukup besar,
Kesempatan bertemunya baru-baru ini membongkar banyak kisah menarik sepanjang beliau bertugas sebagai pegawai polis.
Paling menarik membabitkan kisah penjenayah terkenal yang mengakui dirinya sebagai ‘Robin Hood’, Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin.
Sejarah tertulis, penjenayah itu berjaya ditahan selepas satu serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh pada 16 Februari 1976, namun di sebalik serbuan itu, Syed Meer atau lebih sinonim dengan panggilan Syed Meor adalah pencetusnya.
Menurut Syed Meor, sebagai Ketua Polis Daerah Campbell (kini Dang Wangi) ketika itu, beliau turut serta dalam usaha menangkap penjenayah paling dikehendaki itu.
Malah, selepas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, mendiang Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam cedera ditembak konco Botak Chin dan dirawat di hospital, beliau memangku jawatan berkenaan.
“Peristiwa penangkapan Botak Chin bermula pada satu malam apabila seorang pemberi maklumat memberitahu ada kegiatan penjualan heroin di sebuah kilang papan. Saya suruh dia menyelusup ke kilang itu tetapi ada halangan.
“Kesudahannya, saya sendiri turun padang memantau lokasi itu. Ketika itu saya melakukan penyamaran dengan memakai serban supaya tidak dikenali,” katanya.
Ketika tiba di lokasi berkenaan, beliau melihat kelibat orang kanan Botak Chin, Pangkor Chai (Beh Kok Chin) dan yakin Botak Chin ada di kilang itu.
Syed Meor berkata beliau terus memaklumkan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Mohamed Amin Osman (kini Tan Sri) dan beberapa pasukan dihantar memantau kilang berkenaan.
Katanya seingat beliau, ada tiga pasukan dihantar.
“Kami melakukan persediaan dengan memintas panggilan telefon dari kilang itu untuk memastikan Botak Chin ada di situ,” katanya.
Selepas menunggu empat hari, tiada sebarang panggilan telefon dibuat menyebabkan serbuan tidak dapat dilakukan.
“Malam keempat adalah malam terakhir kami menunggu dan tiba-tiba ada panggilan telefon dibuat. Sah, suara panggilan telefon itu dibuat Botak Chin.
“Botak Chin menghubungi konconya di Ipoh dan mereka merancang untuk menyerang Genting (Highlands),” katanya.
Syed Meor berkata, sebaik mengetahui Botak Chin ada di kilang berkenaan, polis terus melakukan serbuan dan berlaku tembak menembak.
“Selepas tembakan dihentikan dan keadaan reda, dua orang kanan Botak Chin ditemui mati, namun Botak Chin tidak kelihatan.
“Ketika itu, Ketua Polis Daerah Sentul yang saya tidak ingat namanya masuk ke dalam dan menemui Botak Chin terbaring di bawah meja.
“Botak Chin memanggil... ‘sir please help me’ (Tuan, tolong saya) dan ketika itu penjenayah terbabit ditarik keluar. Dia ditemui dalam keadaan cedera di tangan dan badan kesan dua hingga tiga das tembak bersama beg yang mengandungi lebih daripada satu senjata api,” katanya yang memegang jawatan Ketua Polis Daerah Campbell dari 1971 hingga 1979.
Selepas ditangkap, Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.
Disebabkan peguamnya membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak. Pada 11 Jun 1981, Botak Chin menjalani hukuman gantung.
Selain kes Botak Chin, Syed Meor turut terbabit secara langsung dalam tragedi bangunan 12 tingkat, AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kejadian dicetuskan lima pengganas Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army) pada 4 Ogos 1975, lantaran tuntutan untuk pembebasan rakan mereka yang ditawan di penjara di Tokyo, Jepun.
Seramai 52 orang rakyat negara ini dan beberapa pekerja kedutaan Jepun, Amerika Syarikat dan Sweden, termasuk wanita serta kanak-kanak menjadi tawanan pengganas terbabit.
Ketika kejadian terbabit, Syed Meor berkata, beliau berkesempatan bersemuka dengan pengganas terbabit.
“Untuk masuk ke dalam kawasan yang ditawan pengganas itu tidak boleh kerana sudah dikelilingi wayar bom. Begitupun saya sempat bersemuka dengan pengganas terbabit yang memberitahu supaya tidak masuk campur dan menyuruh saya menjaga ‘orang’ saya saja.
“Mereka beritahu tidak akan menimbulkan masalah, melainkan kami yang mencetuskan masalah,” katanya.
Selain memberi amaran berkenaan, pengganas terbabit turut meminta dibelikan makanan yang bukan daripada kedai makan biasa tetapi hotel berdekatan iaitu Hotel Merlin.
Permintaan mereka itu terpaksa dipenuhi polis.
Dalam kejadian itu, Syed Meor berkata, beliau sendiri membantu membawa turun beberapa orang yang tidak dijadikan tebusan, tetapi terperangkap dalam bangunan berkenaan.
“Situasi ketika tragedi itu memang bahaya. Seorang anggota polis cedera ditembak di kaki apabila cuba naik ke lokasi pengganas terbabit bersembunyi,” katanya yang tidak pulang ke rumah selama tiga hari akibat tragedi berkenaan.
Tragedi itu berakhir tanpa pertumpahan darah. Semua 52 tebusan dibebaskan dan hasil rundingan yang dibuat pengganas terbabit, 5 pengganas terbabit dan lima tawanan penjara Jepun yang dibawa bersama dari Jepun dihantar ke Libya.
Melihat dua kisah itu, penulis tertanya-tanya mengapa namanya tidak dikenali ramai.
Sambil tersenyum, Syed Meor menceritakannya, biarlah penulis saja yang tahu.
Tiada kesilapan yang dibuat kerana beliau seorang yang sangat mementingkan disiplin dan membenci rasuah.
Jika hendak mengetahui prestasinya, lihat saja bagaimana keadaan daerah Campbell yang dikawalnya.
Menurutnya, jika turun padang, senyap sunyilah lokasi panas seperti Chow kit hingga beliau digelar 'town tamer' (penjinak kota). Habis semua kongsi gelap, judi, pelacuran dan dadah dibanteras habis-habisan.
Seperti yang diceritakannya, beliau pantang dicabar sehingga ada sebuah kelab malam milik kakak seorang pelakon veteran ketika ini habis diserbunya sehingga terpaksa ditutup!
“Kakak pelakon itu cabar suruh datang serbu. Saya serbu sampai kelab malam itu bankrap,” kata Syed Meor.
Begitupun, lumrah sebagai pegawai polis, beliau turut tidak terlepas daripada berdepan ancaman daripada penjenayah.
Paling diingatinya adalah kejadian keretanya ditembak bertalu-talu oleh penjenayah di Taman Overseas Union Garden (OUG), Jalan Klang Lama pada 1979.
“Ketika itu saya hendak melakukan serbuan terhadap sekumpulan penjenayah daripada kumpulan 'pang'. Setibanya di rumah teres dua tingkat yang dijadikan tempat persembunyian mereka, mereka menembak saya bertalu-talu.
“Habis kereta saya berlubang, namun saya selamat. Apabila penjenayah itu cuba melarikan diri, habis semuanya mati ditembak,” katanya.
Hakikatnya pengalaman Syed Meor bukan setakat berhadapan dengan penjenayah, tetapi beliau mempunyai banyak pengalaman bertempur dengan komunis ketika menyertai Police Special Squad Group dan Police Field Force sekitar 1960 hingga 1968.
Syed Meor kini masih gigih bekerja sebagai peguam dan memiliki firma guaman sendiri. Menariknya pejabat firma guamannya itu terletak di Kompleks Campbell.
“Membangkitkan nostalgia”, kata Syed Meor
Info
Syed Meor menyertai polis pada Mei 1951. Selain memegang jawatan Ketua Polis Daerah Campbell, antara jawatan lain yang dipegang adalah Ketua Polis Daerah Kulai, Simpang Renggam dan Alor Setar, Ketua Trafik Utara dan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Utara. Kali terakhir beliau bertugas di unit inteligen di Johor dari 1980 hingga 1986.
Pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Keselamatan Bank Negara selama tiga tahun.
Ketika bertugas di Sarawak mendiang Temenggung Jugah Anak Barieng pernah menghadiahkan Syed Meer seguni kepala tengkorak manusia sebagai satu penghargaan kepadanya.
Selain kisah dengan penjenayah, Syed Meor turut mempunyai pengalaman membunuh seekor harimau bersaiz 2.4 meter seorang diri di Tumpat, Kelantan. Orang kampung hanya menghantar beliau ke lokasi harimau itu membaham seorang anggota polis Inggeris. Beliau berjaya menembak harimau itu pada jam 2 pagi dalam keadaan muka beliau disapu tahi gajah bagi mengelak harimau berkenaan mengesan kehadirannya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan