KUALA LUMPUR, Selasa - Ummi Hafilda Ali merangka sendiri surat pengakuan penafian berhubung pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam salah laku seksual, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Deputi Superintendan (DSP) Abdul Aziz Hussin dari Cawangan Khas (B) Bukit Aman memberitahu mahkamah, Ummi Hafilda merangka surat itu selepas bekas Pengarah SB, Datuk Mohd Said Awang tidak berpuas hati dengan surat pertama yang ditandatanganinya sebelum itu.
Katanya, beliau hanya memberi pandangan dan cadangan kepada Ummi Hafilda dalam merangka surat berkenaan (ID18).
Menjawab soalan balas peguam bela, Raja Aziz Addruse, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, Abdul Aziz menjelaskan, beliau hanya berperanan memberi pandangan dan cadangan, selebihnya rangka surat itu dibuat oleh Ummi Hafilda sendiri.
S: Jadi surat pertama yang ditandatangani oleh Ummi Hafilda tidak memuaskan hati DSP Abdul Aziz?
J: Ya. Saya sendiri rasakan surat itu tidak memuaskan.
S: Jadi, adakah anda terima juga surat yang ditandatangani oleh Ummi Hafilda itu?
J: Saya beri surat itu kepada Mohd Said (saksi pendakwa pertama (SP1), yang mana surat itu tidak dipersetujui dan saya telah diarahkan oleh SP1 untuk dapatkan sepucuk surat yang lebih tegas dan komited daripada Ummi Hafilda.
S: Kalau DSP Abdul Aziz tahu surat itu tidak akan diterima oleh SP1, kenapa anda tidak teruskan proses turning over (penukaran pendirian) supaya dapat surat seperti yang diminta?
J: Pada masa saya terima surat pertama daripada Ummi Hafilda, saya sendiri berasa bahawa siasatan seharusnya diteruskan. Dengan sebab itu saya tidak begitu menekan bagi surat lebih tegas ketika itu. Arahan telah diterima untuk dapatkan surat penafian, SP1 telah dimaklumkan sebelum ini bahawa terdapat asas untuk teruskan penyiasatan. Jadi pada jam 6 petang, saya terhimpit di antara pandangan saya dan arahan SP1.
S: Selepas diarah semula untuk mendapat surat lebih tegas, anda bertemu semula dengan Ummi Hafilda, benar?
J: Selepas dapat arahan daripada SP1, saya telah berjumpa dengan Ummi Hafilda.
S: Adakah SP1 menerangkan bagaimana surat pertama itu dianggap tidak begitu tegas?
J: SP1 ada menyentuh berkaitan surat pertama terlalu mendatar dan tidak mengandungi pengakuan kesilapan atau keterlanjuran serta ungkapan atau perkataan memohon maaf.
S: Adakah SP1 terangkan kepada anda, surat baru itu didrafkan untuk lebih tegas?
J: SP1 tidak menerangkan bagaimana surat itu seharusnya ditulis.
S: Adakah anda sendiri tahu, macam mana surat itu ditulis untuk lebih tegas?
J: Setelah dimaklumkan mengenai perkara yang tertinggal, saya telah berbincang semula dengan Ummi Hafilda untuk merangka bentuk surat yang bakal ditulis. Peranan saya lebih berbentuk memberi pandangan dan cadangan.
S: Terangkan sedikit sebanyak pendapat dan cadangan yang dibuat oleh anda?
J: Pandangan yang saya berikan banyak berlandaskan kepada pendedahan dan pengalaman Ummi Hafilda semasa disoal siasat, contohnya, "dia mengakui penyiasatannya adalah dengkil (cetek), dia juga mengakui bahawa dengkil itu tadi boleh bawa kepada tohmahan. Sehubungan itu, dia mengakui keterlanjuran dan seterusnya memohon maaf ke atas perbuatannya.
S: Selain pandangan dan cadangan yang anda jelaskan itu, surat itu dirangka oleh Ummi Hafilda sendiri?
J: Benar, selebihnya surat itu dirangka oleh Ummi Hafilda sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan