UMMI MENANGIS
KUALA LUMPUR, Selasa - Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Pengarah SB, Datuk Amir Junus mengarahkannya mendapatkan Ummi Hafilda Ali bagi menulis sepucuk surat iaitu kenyataan umum yang tegas bagi menafikan dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Deputi Superintendan Abdul Aziz Hussin berkata, beliau bersama Asisten Komisioner (ACP) Mazlan Mohd Din dan Konstabel Wanita Noraini Abdullah mengadakan pertemuan dengan Ummi Hafilda di Hotel Pan Pacific di sini, kira-kira jam 10.30 pagi 29 Ogos lalu.
Berikut adalah soal balas antara Abdul Aziz dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamed.
Azahar: Pada 29 Ogos 1997, lebih kurang 8.30 pagi, apa berlaku?
Abdul Aziz: Saya dipanggil ACP Mazlan (Mohd Din) yang memaklumkan kami iaitu saya dan ACP Mazlan dikehendaki menemuduga Ummi pada jam 10.30 pagi, di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur. Ekoran arahan itu, kami berjumpa dengan Datuk Amir Junus untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
Dalam perjumpaan itu, Datuk Amir memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak berpuas hati dengan ID18 (surat memohon maaf Ummi) yang dikeluarkan pada 18 Ogos 1997.
Azahar: Apakah arahan selanjutnya.
Abdul Aziz: Datuk Amir mengarahkan saya mendapatkan Ummi untuk menulis sepucuk surat kenyataan umum yang lebih tegas dan komited, menafikan dakwaan yang terkandung di dalam ID14 (laporan Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri).
Azahar: Apa tindakan kamu selepas mendapat arahan Datuk Amir.
Abdul Aziz: Saya bersama ACP Mazlan ditemani Konstabel Noraini Abdullah berlepas ke Hotel Pan Pacific dan tiba di sana sekitar jam 10.30 pagi.
Azahar: Setiba di sana, siapa kamu berjumpa.
Abdul Aziz: Setiba di hotel itu, saya menemui Ummi di kawasan lobi. Kami membawa Ummi ke salah sebuah bilik di hotel itu bagi ditemuduga.
Azahar: Apa berlaku dalam bilik itu.
Abdul Aziz: Di dalam bilik itu, bagi memulakan temuduga saya membayangkan atau memberitahu bahawa kami ingin mendapatkan penafian yang lebih tegas daripada Ummi.
Azahar: Apa reaksi Ummi.
Abdul Aziz: Untuk mempastikan Ummi memberi kerjasama saya telah membayangkan terlebih dulu dia perlu membuat kenyataan akhbar berkaitan penafian itu. Saya dapati dia begitu gementar dan seterusnya menangis. Dalam situasi macam itulah, saya mengesyorkan satu tindakan yang lebih mudah iaitu menulis sepucuk surat kenyataan umum bagi menafikan dakwaan yang dia buat sebelum ini.
Azahar: Apa reaksi Ummi, apabila kamu mengesyorkan kenyataan umum.
Abdul Aziz: Dia masih lagi bertegas dia sudah menulis surat sebelum ini iaitu ID18. Saya meneruskan pujukan dan nasihat agar dia mematuhi arahan yang diberi.
Azahar: Adakah akhirnya Ummi bersetuju dengan cadangan kamu.
Abdul Aziz: Akhirnya Ummi bersetuju pada jam 1 petang.
Azahar: Berapa lama kamu memujuk dan menasihat Ummi, sampai akhirnya dia bersetuju.
Abdul Aziz: Ianya memakan masa yang panjang, daripada 11 pagi sehingga 1 petang iaitu dua jam.
Abdul Aziz kemudian ditunjuk sepucuk surat yang ditulis oleh Ummi bertarikh 29 Ogos 1997. Surat itu ditanda sebagai ID29.
Azahar: Apakah peranan kamu dalam penyediaan ID29.
Abdul Aziz: Saya banyak berbincang dan memberi pendapat berhubung penyediaan ID29.
Azahar: Selepas ID29 siap ditandatangani Ummi, apa tindakan kamu selanjutnya.
Abdul Aziz: Saya bersama Mazlan berlepas ke Bukit Aman untuk menyerahkan surat itu kepada Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang dan timbalannya, Datuk Amir Junus.
Azahar: Apa seterusnya berlaku.
Abdul Aziz: Setiba di Bukit Aman, saya terlebih dulu membuat satu salinan daripada surat yang disediakan oleh Ummi. Surat asalnya saya serahkan kepada pegawai atasan saya tadi. Mereka berpendapat surat itu masih kurang tegas dan beberapa pembetulan perlu dilakukan ke atas surat itu. Setelah itu saya dikehendaki menaip surat itu.
Azahar: Apa tindakan seterusnya.
Abdul Aziz: Atas arahan itu, saya mendapat bantuan daripada Rohani Ismail, seorang kerani di pejabat Datuk Said. Lepas itu, tindakan saya yang pertama ialah memusnahkan surat asal yang dilakukan pembetulan berkenaan. Saya bersama ACP Mazlan kembali ke Hotel Pan Pacific untuk mendapatkan tanda tangan Ummi ke atas surat yang siap ditaip itu. Setiba di bilik hotel itu, saya bersama ACP Mazlan mengemukakan surat kenyataan umum yang sudah siap ditaip untuk ditandatangani Ummi.
Azahar: Setelah kamu tunjuk ID22 pada Ummi, apa reaksinya.
Abdul Aziz: Sebaik saja saya merujuk ID22 pada Ummi, dia berasa amat tidak berpuas hati kerana itu bukan surat asalnya. Namun begitu, saya dan ACP Mazlan terus pujuk dan nasihat dia yang membuat pembetulan pada ejaan namanya, setelah menandatangani surat itu.
Azahar: Sesudah Ummi bersetuju tandatangan, apa berlaku.
Abdul Aziz: Saya meminta Ummi menyalin semula surat itu dengan tulisan tangannya. Memandangkan surat itu adalah kenyataan umum, selepas berbincang dengan ACP Mazlan saya mengesyorkan pada Ummi untuk menyediakan covering letter yang dialamatkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan