KENAPA RAMAI ORANG MUDA SOKONG AL JUBURI
amirhamzah64 menulis "Ramai yang membuat pelbagai kesimpulan tentang kekalahan 5 negeri disamping kegagalan memperolehi undi majoriti kali ke 2 BN di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12. Disamping itu diikuti dengan kegagalan BN dalam siri-siri pilihanraya kecil bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Jarang penganalisis tidak mengaitkan faktor golongan muda iaitu dari saluran 4 dan 5 yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada perjuangan Anwar Ibrahim.
Kalau UMNO bergantung kepada saluran 1,2 dan 3 iaitu golongan atau kumpulan yang sudah sampai kematangannya maka kumpulan Pakatan Rakyat akan mempengaruhi minda kumpulan golongan muda yang aggresif. Usaha Pakatan Rakyat ini sangat berhasil kerana gerakannya telah bermula pada tahun 1998 iaitu kira-kira 11 tahun yang lalu. Tahun 1998 adalah tahun-tahun demontrasi jalanan atau zaman laungan reformasi yang berjaya menarik ratusan ribu golongan muda berumur 21-35 tahun pada ketika itu.
Saya suka merujuk tahun 1993 hingga tahun 1998 kerana dalam tempoh itu terkandung zaman kegemilangan Anwar di dalam UMNO dan zaman kejatuhannya. Pada tahun 1993, ketika pemilihan UMNO ,bilamana Allahyarham Tun Ghafar Baba ‘secara mengejut’ dikalah oleh Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden. Pada ketika itu gejala politik wang dalam UMNO dikira paling memuncak dalam sejarah pemilihan parti pada tahun tersebut.
Tahun 1998 adalah bencana kepada Anwar kerana pada tahun itu Anwar dipecat bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan juga sebagai ahli UMNO. Malah lanjutan itu Anwar disumbatkan ke penjara Sg.Buluh selama 6 tahun sehingga dibebaskan di era Pak Lah.
Bagi generasi muda yang masih kanak-kanak atau remaja pada tahun-tahun 1993-1998 mungkin tidak tahu sejarah politik Malaysia atau pun belum mengertai apa-apa tentang politik. Mereka belum atau tidak 'hidup' ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pada waktu itu ramai ‘ orang-orang Anwar’ yang tidak tahu berniaga tiba-tiba menjadi pengerusi syarikat. Bukan satu atau dua malah ada yang beratus-ratus. Saya masih ingat ucapan Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO telah mengkritik kerajaan berkenaan isu-isu kronisme dan nepotisme. Pada keesokkan harinya kerajaan telah menampal di PWTC senarai 366 pengerusi syarikat yang dipegang oleh Zahid. Zahid pada masa itu adalah kroni Anwar Ibrahim.
Bagi generasi muda mungkin tidak tahu tentang ramai yang terhutang budi kepada Anwar gara-gara mendapat durian runtuh melalui pink form . Kementerian mana agaknya yang boleh mengeluarkan pink form saham tu dan siapa pula menterinya kalau tidak Kementerian Kewangan dan Anwar sebagai menterinya. Editor-editor suratkhabar pun cukup sedia maklum tentang tangan-tangan ghaib yang mendominasi kekayaan negara.
Pada hari ini Anwar buat-buat lupa sejarahnya ketika berjawatan dalam kerajaan. Beliau sedar generasi muda tidak tahu sejarahnya dan pengikut setianya sudah lama membutakan mata dan memekakkan telinga. Bagi saya yang hidup di zaman itu hanya tersenyum sumbing apabila Anwar berucap di ceramah-ceramah mengata UMNO parti yang sudah reput,politik wang dan bergemulang dengan kronisme dan nepotisme dan segala macam kebobrokan. Generasi muda terpukau dengan ucapan Anwar sedangkan rasuah politik, kronisme dan nepotisme sangat berleluasa ketika Anwar di dalam UMNO.
Saya rasa saya tidak keseorangan tersenyum. Kemungkinan mereka yang 'kenyang' sewaktu kegemilangan Anwar juga turut tersenyum simpul dengan skrip drama yang dilakonkan Anwar sekarang. Seperkara lagi, generasi muda rasanya tidak sedar hanya beberapa kerat saja pejuang asal reformasi dan Parti Keadilan yang kekal. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd.Nor, Roslan Kassim, Lokman Adam semuanya sudah meninggalkan Anwar. Kalau benar dan jujur perjuangan yang dibawa oleh Anwar mengapakah orang-orang kanan yang mempertahankan Anwar sehingga di tahan ISA sanggup meninggalkan Anwar? Generasi muda hanya tahu pemimpin yang ada sekarang ini tetapi tidak sedar ramai yang telah lari membuat hal masing-masing.
Dr.Chandra Muzaffar dalam satu wawancara di sebuah TV swasta menyatakan bahawa persaraannya daripada politik adalah disebabkan jurang yang jauh diantara prinsip dan kuasa. Apabila belum berkuasa, prinsip ditegakkan dengan begitu ideal tetapi apabila sudah mendapat kuasa, persetankan dengan prinsip. Beliau kini menjadi pensyarah semula sebagai pensyarah sains politik di sebuah universiti tempatan. Generasi muda tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir Parti Keadilan Rakyat.
Siapakah golongan muda yang menjadi pendokong hebat Anwar? Saya merujuk tahun 1993-1998 iaitu tempoh Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pada masa yang sama kita perhatikan kematangan dan pemahaman golongan muda hari ini ketika tahun 1993-1998.
Jika seseorang itu berumur 35 tahun sekarang, pada tahun 1993 baru berumur 19 tahun dan tahun 1998 berumur 24 tahun. Jikalau berumur 30 tahun hari ini, tahun 1993 baru berumur 14 tahun dan 1998 baru mencecah 19 tahun. Jika generasi muda itu berumur 25 tahun sekarang, tahun 1993 baru tahun 3 sekolah rendah dan tahun 1998 baru menjangkau 14 tahun. Jika tahun ini orang muda ini baru mencecah 21 tahun, tahun 1993baru berumur 5 tahun dan tahun 1998 baru berumur 10 tahun.
Oleh itu saya tidak merasa hairan jika remaja atau golongan muda ini membesar dalam suasana simpati terhadap Anwar. Mereka telah meletakkan Anwar sebagai idola melalui harapan-harapan baru yang mereka fikirkan realistik dan mengikuti peredaran zaman. Mereka juga membesar melalui proses kematangan dengan persepsi buruk terhadap BN yang dipasak setiap masa. Akhirnya dalam masa yang sama, mereka tidak mengizinkan fikiran dan minda mereka untuk mengkaji siapa Anwar sebenarnya.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan